Bayar Hutang Atau Melabur Dulu?
Yang mana patut jadi keutamaan anda? Bayar semua hutang atau gunakan wang itu bagi tujuan melabur demi masa depan yang lebih baik?
Membayar hutang bukanlah satu perkara yang menyeronokkan. Kita akan terhimpit di antara beban kos sara hidup yang tinggi dan tanggungjawab untuk bayar hutang. Dan juga keperluan untuk menyimpan demi masa depan.
Soalannya, di antara membayar hutang dan melabur yang mana perlu diutamakan?
Secara mudah, jika pulangan pelaburan anda lebih tinggi daripada kadar faedah yang anda bayar untuk hutang anda, anda harus utamakan untuk melabur dulu.
Sebaliknya jika faedah yang anda kena bayar pada bank untuk hutang anda lebih tinggi dari pulangan pelaburan, anda harus utamakan untuk membayar hutang.
Keperluan dan masalah seseorang sangat berbeza. Apa yang baik untuk anda mungkin tidak baik pula untuk orang lain. Mari kita lihat beberapa pendekatan yang mungkin sesuai dengan situasi dan matlamat anda.
Melabur sambil membayar hutang.
Bagaimana jika anda melakukannya serentak? Ye, anda bayar hutang dan di masa yang sama anda juga buat simpanan dan pelaburan.
Anda mungkin berhasrat untuk menyelesaikan bayar hutang secepat mungkin. Di masa yang sama merancang untuk mengetepikan beberapa dana untuk persaraan, insurans, dan perkara lain yang boleh menyumbang kepada kejayaan kewangan anda di masa hadapan.
Ada tiga sebab kenapa melabur sambil membayar hutang adalah penting.
- Fokus untuk bebas hutang adalah satu usaha yang tepat. Anda akan dapat mengurangkan jumlah faedah dari hutang yang anda kena bayar. Tapi jika anda gagal menyimpan atau melabur dalam tempoh masa ini, anda mungkin tidak mempunyai sebarang aset pelaburan untuk masa depan walaupun anda akhirnya bebas daripada hutang.
- Dengan meletakkan sedikit wang secara berkala ke dalam akaun pelaburan sambil membayar balik hutang secara serentak, anda sedang bergerak ke arah matlamat kewangan yang baik untuk masa depan. Di masa yang sama anda dapat mengecilkan jumlah hutang.
- Kelebihan compound ineterest. Jika anda tidak mula menyimpan semasa anda membayar hutang, anda akan terlepas dari menikmati pulangan kompaun (compound interest).
Membayar hutang adalah wajib, tetapi anda tidak boleh abaikan keperluan melabur untuk masa depan anda.
Bayangkan jika anda menjadi kurang upaya dan tidak dapat bekerja lagi, atau jika pasangan anda meninggal dunia secara mengejut. Adakah anda bersedia?
Kos untuk menangani situasi ini tanpa perlindungan dan strategi kewangan yang betul akan jauh lebih besar daripada jumlah faedah ke atas hutang yang anda kena bayar.
Tetapi jika anda mampu untuk membayar hutang dan sekaligus mampu juga untuk melabur, utamakan untuk menghabiskan cepat-cepat hutang anda sambil turut melabur. Ini kerana islam sendiri menuntut kita untuk cepat menyelesaikan segala hutang.
Merancang kewangan untuk masa depan.
Paling penting anda kena merancang dan berfikir untuk jangka masa panjang. Bayangkan di mana anda mahu berada "dalam 10 atau 20 tahun dari sekarang?"
Di mana anda akan berada 10 atau 20 tahun dari sekarang bermula dari langkah yang tepat anda ambil hari ini. Jadi merancanglah dengan bijak.
Samada anda nak bayar hutang dulu atau melabur dulu, anda kena ingat keperluan untuk membayar hutang prinsipal adalah wajib. Pelaburan pula tidak wajib tetapi ianya penting.
Utamakan dana kecemasan anda.
Selain membayar hutang dan membuat pelaburan, adalah penting untuk anda membina dana kecemasan terlebih dulu. Dana kecemasan ini mestilah bersifat cair iaitu mudah untuk dikeluarkan bila anda nak guna.
Lebih baik lagi jika ia dapat memberi dividen atau pulangan yang lebih tinggi dari simpanan biasa di bank. Anda boleh baca lebih lanjut tentang membina dana kecemasan di sini.
Baca juga :
Pentingnya Dana Kecemasan Dan Kenapa Anda Perlu Ada.
Ringkasan.
Apa sekali pun anda kena lihat bajet kewangan anda. Pastikan jumlah hutang anda berada dalam kawalan. Pastikan anda membayar awal setiap bulan supaya tidak dikenakan caj lewat.
Tambah aset pelaburan anda dan tetapkan untuk matlamat jangka panjang. Pastikan juga tabung dana kecemasan anda sentiasa dibiayai dengan baik.